Jumat, 14 Februari 2014

Browse » home» » » » » » ‘Tak semua yang kalah dibenci’

‘Tak semua yang kalah dibenci’

Profesor Madya Dr Mohammad Agus Yusuf

SHAH ALAM – Penganalisis politik berpendapat, tidak semua pemimpin Pas yang kalah pada PRU13 lalu dibenci, sehingga tidak melayakkan mereka bertanding dalam pemilihan parti, November ini.

Pensyarah Sains Politik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff berkata, kebolehan setiap ahli dalam parti itu tidak boleh dipandang rendah.

Justeru, katanya, semua ahli Pas termasuk pemimpin utama parti yang tewas pada PRU13 lalu layak bertanding pada Muktamar Pas ke-59, dijadualkan bermula 22 November ini.

“Kalah dalam PRU ukuran lain, (pemilihan) parti ukuran lain. Kalah dalam parti dan pilihan raya ialah faktor lain. Sesiapa saja yang sesuai untuk bertanding, boleh bertanding (dalam pemilihan parti), kalau sudah ‘ukur baju di badan sendiri’.

“Hak memilih (untuk pemilihan Pas nanti) adalah hak ahli. Sebaik mana pun pemimpin, tak semestinya mereka disokong dan tak semua yang kalah itu dibenci,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

PRU13 pada 5 Mei lalu menyaksikan beberapa pemimpin utama Pas antaranya timbalan presiden, Mohamad Sabu dan dua naib presiden, Salahuddin Ayub serta Datuk Husam Musa kalah di kawasan ditandingi mereka.

Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu tewas kepada Datuk Othman Abdul daripada BN di Parlimen Pendang, Kedah, manakala Salahuddin pula gagal menembusi kubu kuat BN di Johor iaitu masing-masing di kerusi Parlimen Pulai dan Dun Nusajaya.

Sementara itu, Husam pula berjaya mempertahankan Dun Salor, Kelantan, tetapi tewas merebut kerusi Putrajaya daripada Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Melihat kepada latar belakang ketiga-tiga pemimpin utama Pas itu, Mohammad Agus berpendapat, mereka adalah ‘orang hebat’ dari segi pemikiran dan idea dalam mengemudi parti.

“Sebagai contoh, Salahuddin merupakan pemimpin muda yang segar dan bertanding pula di Johor (ketika PRU13) yang kita tahu ia merupakan ‘tapak’ Umno. Jika beliau ‘dibuang’ dalam Pas, rugilah parti itu,” katanya.

Beliau berkata, persaingan sihat akan wujud sekiranya lebih ramai pemimpin bertanding dalam pemilihan parti.

“Ia sebenarnya lagi bagus untuk parti sebab perwakilan punya banyak pilihan dan mereka boleh memilih pemimpin yang terbaik. Ini prinsip sebenar pemimpin terbaik dipilih secara adil, saksama dan demokrasi.

“Bagi pemimpin yang baru menang dalam PRU lalu dan tawarkan diri untuk bertanding, juga tiada masalah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berpendapat, sekiranya pemimpin utama yang kalah pada PRU13 lalu mendapat tempat dalam pemilihan Pas kelak, ia memberi kebaikan kepada parti.

Katanya, mereka akan memfokuskan kepada usaha memperkukuhkan Pas untuk menghadapi PRU14, lima tahun lagi.

“Pemimpin ini boleh manfaatkan sepenuhnya pengalaman dan ilmu yang ada demi pembangunan parti.

“Dalam Pas, saya melihat budaya mereka yang tidak mementingkan kuasa, yang penting mereka berkhidmat kepada parti. Ini budaya penting dan baik dalam mewarnai suasana politik.

"Ia patut dicontohi parti lain,” katanya.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar